30 June, 2015

Harga runcit RON95 dan RON97 naik pada Julai 2015

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON95 naik 10 sen manakala RON97 sebanyak 20 sen seliter bagi Julai 2015 berkuat kuasa tengah malam ini.

"Namun harga diesel kekal pada RM2.05 seliter," kata Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia Datuk Zulkifli Mokti ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata harga baharu RON95 ialah RM2.15 seliter manakala RON97 sebanyak RM2.55 seliter selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Harga tersebut berkuat kuasa mulai 12.01 pagi, 1 Julai ini," katanya.

26 June, 2015

Honda EX5 Fi 110


Alhamdulillah, Allah beri aku rezeki untuk beli sebuah motosikal. Moga boleh digunakan ke arah kebaikan dan kebajikan.

Pengalaman baru aku dapat dalam mencari dan survey harga motosikal. Banyak kedai aku pergi tapi rata-rata harga jualan adalah lebih kurang sama, kalau beza pun dalam RM100 ke RM250. Harga belian tunai pula berbeza dari belian kredit, antara RM500 ke RM1,000 bergantung kepada pemberi kredit sama ada syarikat kredit atau pun kedai motor itu sendiri. Harga kredit ini pula belum lagi masuk interest 10% setahun.

Aku beli cash sebab tak mahu terlibat dengan riba' dan takut kalau ambil hutang nanti bulan2 tak mampu bayar.

Satu yang mengecewakan ialah ada satu kedai motor milik penuh bumiputera yang aku jumpa tidak dapat memberikan diskaun untuk belian tunai aku malah harganya mengikut harga runcit di dalam buku bukannya harga pasaran. Kenapa kedai ini tidak dapat memberi diskaun lebih kepada bumiputera seperti aku sepertimana yang diberikan oleh kedai motor milik bukan bumiputera tempat aku beli. Aku nak sokong bumiputera tetapi bumiputera tidak dapat menyokong aku yang nak menyokong mereka.

Akhirnya aku beli motor Honda EX5 Fi 110 baru tanpa electric starter dengan tambahan sport rim beserta tayar tubeless, Givi box dan tempahan no plet melalui applikasi mysikap hanya dengan harga RM5,360.


24 June, 2015

Bazaar Ramadhan Stadium Shah Alam


Kebiasaannya bila Ramadhan menjelma, kita akan terbayang akan kemeriahan bazaar ramadhan yang memberi seribu pilihan juadah untuk berbuka puasa.

Kalau di Shah Alam, bazaar ramadhan paling meriah ialah di tapak pasar ahad Stadium Shah Alam Seksyen 13. Kalau tahun-tahun terdahulu, bazaar ini mempunyai sehingga 6 lorong peniaga-peniaga tetapi pada tahun ini cuma terdapat 3 lorong sahaja. Juadahnya pula tidak membuatkan aku tertarik untuk membeli.

Tiada lagi kemeriahan ayam golek, soya station, kebab bakar, kambing bakar dan lain-lain. Aku lihat cuma orang ramai beratur di gerai Murtabak Dunia.

Mungkinkah ramai peniaga tidak lagi berniaga kerana faktor kenaikan harga barang? Takut untuk dikatakan terlalu mahal dan dimarahi pelanggan. Sekarang pun dah bermula harga karipap sardin banyak kentang 50 sen satu, satu senduk kecil siput sedut masak lemak RM4. Pastinya tahun hadapan akan lebih mencabar harganya.

22 June, 2015

Percuma Bubur Lambuk dan Kurma


Setiap kali munculnya Ramadhan, semakin ramai dermawan menaja program-program yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadhan termasuklah program agihan bubur lambuk dan kurma percuma oleh Masjid Sultan Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri Selangor).


Sepanjang Ramadhan, pihak masjid akan mengagihkan bubur lambuk dan kurma untuk orang ramai secara percuma selepas solat Asar di perkarangan tempat letak kereta. Jangan lupa untuk sertai program ini serta menaja sekiranya berhajat. 



18 June, 2015

Rezeki Ramadhan

Alhamdulillah. Permohonan Hilang Upaya Kekal kepada Perkeso telah dilulusan dengan kadar 5% setelah membuat rayuan kepada Jemaah Doktor Perkeso atas kecederaan tulang belakang pada tahun 2013. Walaupun perkadaran 5% itu tidak setimpal dengan keupayaan yang hilang, namun aku harus bersyukur atas rezeki yang telah diberi. Kemunculannya pada hari pertama Ramadhan memberi kelegaan kepadaku. Rezeki di bulan Ramadhan.

12 June, 2015

I am 40

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah yang maha Esa, aku masih bernafas pada ulangtahun hari lahir ku yang ke 40. Tiada sambutan seperti selalu, hanya muhasabah diri.

Hari ini bermula dengan tugasan sebagai ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) mengawal dari jam 3.00 pagi hingga 5.30 pagi. Kemudian dapat berjemaah solat Subuh di Surau. Lepas subuh...tido...haha

Solat Jumaat di Masjid Negeri Selangor dan dapat bersalaman dengan Sultan Selangor dan Menteri Besar Selangor.

Solat Asar juga di Masjid Negeri Selangor.

Rezeki pertama untuk hari ini. Makan tengahari lewat menu Kabshah Lamb dan sirap suam di D'Arab Cafe perkarangan Masjid Negeri Selangor.

Solat Mahgrib dan Isyak juga di Masjid Negeri Selangor.

Tiada ucapan selamat hari lahir daripada orang lain kecuali daripada isteriku tersayang dan 2 orang sahabat. Mungkin semakin kita berumur, semakin kita dilupakan. Ataupun pada zaman sekarang, semua orang hanya bergantung pada applikasi Facebook untuk mengingati seseorang. Itu sahaja pengalaman untuk hari ini yang hanya berada dekat dengan rumah Allah. Moga hati ini tetap ingin mendekati rumah ini.

10 June, 2015

Kisah Sedih Puteri Zainah Isteri Pertama Najib yang Ramai Tak Tahu

Semua orang tahu Datin Hajah Rosmah Mansor atau lebih dikenali sebagai BikMama@LadyFirst ialah isteri kedua Dato Seri Hj Mohd Najib Razak, PM Malaysia.

Manakala, Isteri pertama PM Najib Razak pula ialah seorang insan bernama Puteri Zainah binti Iskandar (kerabat diraja Kelantan), perempuan pertama yang bersama PM Najib membina kehidupan. Siapakah Puteri Zainah ini? Mari kenalinya lebih dekat lagi..


Dia adalah wanita pertama yang berada di sisi PM Najib. Wanita pertama yang berada di kiri PM Najib diatas pelamin yang kilau gemilau suatu ketika dahulu. Wanita pertama yang menjadi teman tidur PM Najib yang sah. Wanita pertama yang meyendukkan nasi ke pinggan PM Najib. Wanita pertama yang mengambil baju dan seluar PM Najib untuk ke pejabat.

Walaupun ada kuasa yang cuba untuk menafikannya, namun sejarah dan biologi tidak boleh menafikan bahawa darah wanita ini ada dalam tubuh tiga orang anak Perdana Menteri itu, Mohd Nizar, Puteri Norlisa dan Mohd Nasifuddin.

Puteri Zainah masih hidup dan masih sihat wal afiat. Cebisan kenangan indah dan buruk beliau dengan PM Najib masih terpapar di kepalanya. Dia juga berhak sebenarnya bercakap mengenai PM Najib. Dia masih waras untuk bercerita segala-galanya dari malam pertama sehinggalah kemalam terakhir kehidupan rumah tangganya bersama PM Najib.

Sebelum Datin Rosmah Mansor menjelma dalam kamus hidup PM Najib, Puteri Zainah atau lebih dikenali dengan Ku Yie inilah yang mengikut PM Najib ke majlis-majlis kerajaan. Yang menemani PM Najib menziarahi rakyat di Pekan dan seluruh Pahang semasa PM Najib menjadi Menteri Besar Pahang dulu. Ku Yie lah yang menjadi pujaan dan kesayangan Tun Puan Rahah.

Mungkin ada juga yang tak tahu bahawa bekas suami Datin Hajah Rosmah Mansor ialah Farid Ismeth Emir iaitu pembaca berita Dunia Jam 10 di RTM1. Manakala anak perempuan Datin Hajah Rosmah Mansor bersama Farid Ismeth pulak ialah Azrene Soraya iaitu isteri kepada penyanyi yang juga pakar motivasi terkenal Datuk Dr Fazley.

YM Tengku Puteri Zainah Tengku Iskandar, bekas isteri Perdana Menteri yang juga dahulu pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Najib Tun Razak menangkis fitnah-fitnah yang menuduh beliau tidak siuman dan uzur untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.

Menurutnya, fitnah-fitnah tersebut sengaja disebarkan untuk menjatuhkan imej dan memalukan beliau sebagai salah seorang kerabat di-Raja Kelantan. Tengku Puteri Zainah menegaskan beliau tetap tabah dan berusaha menyelamatkan rumahtangganya daripada menuju keretakan meskipun fitnah-fitnah tersebut sering menghantui kehidupannya.

Walaubagaimanapun telah ditakdirkan Allah SWT penceraian berlaku juga antara beliau dengan Datuk Seri Najib pada bulan April 1987, 28 tahun yang lalu. Menurut Tengku Puteri Zainah lagi, beliau telah diceraikan tanpa pengetahuannya dengan beberapa alasan.

Beliau melahirkan rasa sedihnya kerana walaupun setelah menjalanikan hidup berumahtangga selama hampir 10 tahun dan telah dikurniakan seramai tiga cahayamata, tiba-tiba diceraikan tanpa pengetahuan beliau.

Tengku Puteri Zainah juga memberitahu bahawa sebelum penceraian berlaku, beliau serta bekas suaminya tidak pernah bersengketa. Cuma selepas suaminya dilantik menjadi Menteri Belia Dan Sukan di tahun 1987, Datuk Najib tidak pulang ke rumah selama lebih enam bulan sebaliknya beliau menetap di hotel.

Menurut beliau, Datuk Seri Najib hanya mengunjungi beliau di waktu-waktu tertentu sahaja ketika beliau ditempatkan di rumah milik kerajaan.

Tengku Puteri Zainah diceraikan dengan talak satu kini tinggal bersama dengan tiga anaknya Mohd. Nizar, Puteri Nerlisa, dan Mohd. Naziffuddin. Tengku Puteri Zainah telah berjaya menuntut nafkah sara hidup sementara untuk beliau dan anak-anaknya dari bekas suaminya itu di Mahkamah Tinggi Syariah.

Tengku Puteri Zainah dan anak-anak, walaupun cuba menunjukkan kegembiraan di wajah masing-masing, tetapi itu hanya sekadar kegembiraan kerana menyambut kedatangan Hari Raya, bergambar di pagi Hari Raya Puasa 1987.

Pada malam menjelang Hari Raya itu juga lah PM Najib dan Rosmah telah pergi ber'honeymoon' di Eropah. Juga menjadi pertama kali nya Nizar, Puteri Norlisa dan Naziffuddin berhari raya tanpa bapa mereka disisi.

Sumber : Tawau Network. http://www.tawaunetwork.com/2015/06/kisah-sedih-isteri-pertama-najib-razak.html

08 June, 2015

Tun M vs DSN

Pertembungan berterusan di antara dua pemimpin iaitu mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah membuatkan politik umno bergolak buat masa ini.

Tun M terus mendesak supaya DSN memberi penerangan kepada beliau dan juga rakyat tentang banyak isu terutama sekali isu 1MDB. Menurut Tun M, DSN tidak menjawab pertanyaan yang diajukan oleh beliau malah seperti mengelak untuk menjawab. DSN juga tidak hadir ke Program Nothing To Hide iaitu satu program Dialog Perdana Menteri bersama NGO anjuran SukaGuam atas alasan keselamatan atau apa-apa alasan sekalipun. Ini telah menambah lagi ketidakpuasan hati Tun M serta rakyat sekalian.

Jika di lihat dengan teliti, kedua-dua pemimpin ini adalah satu pasukan serta mendapat didikan serta mewarisi permainan politik ini dari pemimpin terdahulu. Jadi tidak mustahil DSN bersikap demikian kerana sewaktu Tun M menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, beliau juga pernah lalui perkara yang lebih kurang sama. Bezanya ialah Tun M boleh mempergunakan undang-undang ISA bagi melindungi kepentingannya serta negara dan menangkis ancaman sebelum ianya menyerang. Tidak hairanlah jika pemimpin akan datang yang asal dari rumpun yang sama melakukan perkara yang sama tetapi taktik yang berlainan.

Kita juga tidak harus terlena dengan isu ini kerana kemungkinan isu besar ini sengaja ditimbulkan bagi menarik perhatian rakyat dan akan mendapat sokongan tambahan dari rakyat apabila hal ini dapat diselesaikan secara baik kelak.

Isu terdahulu akan dilupakan sebegitu sahaja. Masih ingatkah anda pada isu GST? Adakah harga barangan telah turun? Tahukah anda bahawa tambang teksi telah naik walaupun SPAD umum penangguhan kenaikan tambang pengangkutan awam.