Sesetengah individu merasakan, untuk mengqada puasa Ramadan apatah lagi untuk berpuasa sunat enam pada bulan Syawal, dia bakal menghadapi beberapa rintangan. Sebabnya, seperti yang kita semua maklum, pada musim hari raya aidilfitri, amalan berziarah ke rumah saudara-mara dan sahabat-handai sudah menjadi adat dan kebiasaan. Di samping itu ‘open house’ ataupun rumah terbuka juga termasuk amalan yang biasa dilakukan pada hari raya. Kadang-kadang, sebagai tetamu, sesetengah undangan ‘open house’ ini sukar untuk ditolak sehingga menyebabkan seseorang yang sedang berpuasa itu terpaksa membuat pilihan, lebih-lebih lagi jika kunjungan itu hanya mampu dibuatnya pada siang hari.
Memenuhi jemputan kenduri adalah dituntut oleh agama. Jika jemputan adalah kepada kenduri kahwin (walimatul-urus), hukum memenuhi jemputan itu adalah wajib kecuali jika ada keuzuran. Adapun kenduri-kenduri yang lain (dari kenduri kahwin), hukum memenuhi jemputan kepadanya adalah sunat (yakni digalakkan dan diberi pahala oleh Allah). Dalil tuntutan memenuhi jemputan kenduri (terutamanya kenduri kahwin) ialah sabda Nabi s.a.w.;
“Jika seseorang kamu dijemput kepada walimah (kenduri), maka hendaklah ia menghadirinya”.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Jika sedang berpuasa, mintalah keuzuran dari orang yang menjemput itu (untuk tidak menghadirinya) dan berdoalah untuknya dengan keberkatan dan keampunan Allah. Ini sebagaimana diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w.;
“Jika seseorang dari kamu diajak kepada jamuan makanan (yakni kenduri) sedang ia berpuasa, hendaklah ia berkata; ‘Saya berpuasa’ ”.
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Imam an-Nawawi menjelaskan; ucapan “Saya berpuasa” dapat difahami bahawa orang yang dijemput mengucapkannya kepada orang menjemputnya sebagai memohon keuzuran dan sebagai memaklumkan keadaannya (yang sedang berpuasa). Jika orang yang menjemputnya memberi kelonggaran kepadanya dan tidak menuntutnya hadir, gugurlah kewajipan hadir itu darinya. Namun jika ia tidak memberi kelonggaran dan tetap menuntut kehadirannya, wajiblah ia menghadirinya. Puasa tidak boleh menjadi alasan untuk tidak memenuhi jemputan kenduri. Namun demikian, apabila ia menghadirinya, tidaklah dituntut ia makan kerana puasa menjadi keuzuran baginya untuk meninggalkan makan.
Ini berdalilkan sabda Nabi s.a.w;
“Jika seseorang dari kamu dijemput kepada makanan kenduri, maka hendaklah ia memenuhinya. Jika ia mahu ia boleh makan dan jika ia mahu ia boleh meninggalkan makan”.
(Riwayat Imam Muslim dari Jabir r.a.)
Namun perlu juga diingat bahawa berpuasa itu bukanlah sebagai penghalang untuk tidak menghadiri jemputan. Ibnu Umar r.a. misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang berpuasa. Begitu juga hal sebaliknya, jemputan jamuan itu bukan alasan untuk tidak berpuasa. Sebaiknya perkara ini difahami dengan lebih mendalam lagi.
Dalil kepada peringatan ini adalah berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan, maka penuhilah (undangan itu). Jika dia sedang berpuasa, maka doakanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa, maka makanlah.”
(Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Manakah yang lebih afdhal; meneruskan puasa atau berbuka? Jawapannya; Jika ia berpuasa wajib (sama ada puasa qadha’ Ramadhan, puasa nazar atau puasa kifarat), haram ia berbuka sama sekali.
Akan tetapi jika puasa yang dilakukan oleh seseorang yang menjadi tetamu itu adalah puasa sunat, maka dalam keadaan tertentu dia diberikan pilihan, sama ada untuk meneruskan puasanya ataupun disunatkan baginya berbuka dan tidak meneruskan puasa sunat tersebut. Keadaannya adalah seperti berikut:
Keadaan yang pertama: Sekiranya tuan rumah yang menjemputnya itu berasa tersinggung jika tetamu tersebut tidak memakan makanan yang dihidangkannya, maka dalam keadaan ini dibolehkan, bahkan afdal bagi tetamu yang berpuasa sunat tadi untuk berbuka dan tidak meneruskan puasa sunatnya itu. Adapun alasan yang diberikan oleh ulama ialah untuk menjaga hati tuan rumah. Perkara ini boleh terjadi dalam jamuan atau jemputan yang berbentuk khusus, seperti tuan rumah hanya menjemput tetamu yang tertentu atau dia mempunyai hajat tertentu ketika mengundang tetamu-tetamu tadi.
Adapun dalil yang mensabitkan perkara ini adalah satu riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh seorang yang sedang berpuasa sunat supaya berbuka dalam majlis jamuan makan. Sabda baginda:
“Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu.” Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya, "Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.”
(Hadis riwayat al-Baihaqi)
Keadaan yang kedua: Sekiranya tuan rumah itu tidak tersinggung ataupun tidak keberatan jika tetamunya itu meneruskan puasanya, maka dalam hal ini adalah lebih afdal dan lebih utama bagi tetamu itu untuk meneruskan sahaja puasa sunat tersebut. Perkara ini boleh terjadi dalam jamuan atau jemputan yang berbentuk umum. Akan tetapi hukumnya berbeza jika puasa yang dikerjakan oleh seseorang itu merupakan puasa fardu, misalnya puasa qada Ramadan atau puasa nazar, maka adalah haram baginya untuk berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri jemputan tersebut dan disunatkan juga ke atasnya untuk mendoakan keberkatan serta keampunan ke atas tuan rumah dan para hadirin sepertimana yang disebutkan dalam hadis di atas.
Kesimpulan
Tidak salah dan tidak berdosa walaupun anda tidak berbuka puasa sebagaimana dalan keadaan yang dinyatakan di atas. Perhatikanlah keutamaan sebagaimana yang diperhalusi oleh Rasulullah. Sekiranya jamuan itu adalah jemputan khas dimana sahabat itu sudah bersusah payah menyiapkan hidangan untuk anda, berbukalah kerana ia lebih afdal. Tak perlu memberitahu sahabat itu bahawa anda berpuasa kerana ini akan membuatkan beliau rasa serba salah. Namun jika sebaliknya, teruskanlah puasa itu. Ia tidak menjadi sebarang masalah.
Peluang untuk mengerjakan puasa enam hanya diperoleh sekali sahaja dalam setahun, iaitu dalam bulan Syawal. Oleh hal yang demikian, usahakanlah agar ia tidak terlepas tanpa dikerjakan. Rintangan atau dugaan untuk pelaksanakannya, seperti majlis jamuan makan, janganlah dijadikan alasan untuk meninggalkan sama sekali puasa sunat enam ini. Sebaiknya biarlah bijak mengurus masa.
Rujukan :
http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/04/kenduri-dan-puasa.html
http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/kolumnis/atriza-umar/92-puasa-enam-pada-bulan-syawal-
http://wanwma.com/soal-jawab/puasa-sunat-dan-jemputan-makan/